Wednesday 29 November 2017

TAMBAH USAHA TANI


Pertanian tidak hanya proses menghasilkan bahan mentah, tetapi juga bagaimana memproses bahan itu untuk sesuai dimanfaatkan oleh manusia. Maka, proses melibatkan teknologi perlu dikuasai.  

Dalam Al Quran perihal pertanian banyak dibicarakan mulai dari macam tumbuhan hingga zakat yang harus dikeluarkan. Teknologi pertanian sendiri diertikan sebagai penerapan ilmu pengetahuan dalam rangka menggunakan sumber dari bidang pertanian untuk kesejahteraan manusia.

Tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi terkait dengan menggunakan hasil dari sumber pertanian dijelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah dalm surah Yasin, ayat 33 bermaksud: "Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar bagi mereka adalah bumi yang mati. Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripadanya mereka makan."

Ayat di atas menunjukkan bahawa pada awalnya bumi ibarat planet yang mati kerana tidak ada kehidupan di dalamnya. Namun dalam perkembangannya bumi menjadi tempat yang sesuai bagi kehidupan dan Allah menyediakan tanaman bagi manusia.

Selain berfungsi sebagai pembekal oksigen bagi kehidupan, dari tanaman juga dapat dituai hasil bijian, buah dan bahagian tumbuhan yang boleh dimanfaatkan.

Ayat di atas juga menunjukkan bahawa pada dasarnya tanaman mestinya diusahakan agar dapat digunakan sebagai makanan. Tanpa adanya usaha maka tanaman yang ada tidak akan mampu memenuhi keperluan manusia.

Oleh sebab itu ayat ini diikuti dengan ayat berikutnya. Firman Allah dalam surah Yasin ayat 34 bermaksud: "Dan kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air."

Dijadikannya kebun-kebun menunjukkan Allah membimbing manusia untuk berusaha. Untuk menghasilkan produk yang banyak dan baik, perlu kepada kaedah yang sesuai.  

Pada awalnya mereka mengambil air dari mata air untuk menyirami tanaman dan memberi minum ternak, kemudian mengalirkannya menjadi sistem pengairan yang membolehkan kawasan pertanian diluaskan. Bumi ini amat sesuai diusakan sebagai tempat pertanian dengan dibantu oleh sumber air bawah tanah dan air hujan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 22 yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai bumbung, dan Dia menurunkan air hujan dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui."

PERLU BERUSAHA SEDIAKAN MAKANAN HALAL

Proses usaha menambah hasil pengeluaran pertanian melalui teknologi baru amat dituntut. Usaha dalam bidang pertanian untuk menghasilkan keperluan makanan melebihi apa yang diperlukan oleh petani sendiri, kemudian dijual memberi manfaat yang sepatutnya disyukurkan.

Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayag 35 bermasud: "Supaya mereka dapat makan dari buahnya, dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?"

Ayat di atas menjelaskan bahawa hasil dari tuai dan dapat digunakan dan jika jumlah yang mampu dituai melebihi apa diperlukan, maka hasil itu perlu diproses agar boleh digunakan pada waktu lain dan diagihkan dijual atau diserahkan kepada orang lain.

Kemampuan manusia memproses hasil pertanian dinyatakan dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl yat 67 bermaksud: "Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang memikirkan."

Pada awal perkembangan teknologi pengawetan makanan, maka teknologi yang berkembang adalah pengeringan dan pembuatan minuman. Pembuatan minuman menjadi perhatian dalam Al Quran kerana adanya kemungkinan untuk menjadi minuman yang diharamkan iaitu mengandung alkohol yang berterusan sampai kini.  

Rezeki yang baik menjadi pilihan yang harus dikembangkan dan ini yang mestinya menjadi perhatian agar hasil tuaian digunakan untuk menghasilkan mananan yang baik dan halal.

Terdapat makanan yang dihasilkan bukan Islam tidak mengutamakan tentang halal dan haram. Maka itu, amat penting orang Islam sendiri menghasilkan makanan untuk orang Islam.

Sebagai pengeluar atau pengilan makanan mesti mengambil berat soal bahan untuk menghasilkan makanan itu. Contohnya penghasilan makanan berasaskan hariwan ternakan mesti melalui proses penyembelihan yang ditetapkan Islam.

Dari Rifaah bin Rafiah  bahawa Nabi SAW pernah ditanya mengenai pekerjaan mana yang paling baik? Baginda menjawab: “Hasil tangan seseorang dan tiap-tiap penjualan yang baik (Hadis riwayat Bazzar)

Hadis di atas menunjukkan bahawa pekerjaan yang baik ada dua iaitu menghasil dan menjual yang baik. Menghasilkan sendiri menjadikan kita yakin tentang kehalalan bahan yang kita keluarkan. Jika kita tidak mampu melakukannya maka jadilah penjual yang baik iaitu mengetahui kehalalan barang yang dijual dan cara penjualan yang halal.

Monday 20 November 2017

DOA BERTUJUAN MOHON PERTOLONGAN

Allah SWT menyeru manusia supaya bersegera memohon pertolongan dan bantuan daripada-Nya dalam apa jua keadaan dan masalah yang mereka hadapi. Sama ada doa itu berbentuk permohonan agar diperkenankan sesuatu permintaan, sama ada untuk perkara yang telah berlalu, sedang dan akan mendatang atau doa itu berbentuk permohonan agar dilepaskan dari sesuatu mara bahaya atau masalah yang sedang mereka hadapi atau yang akan mereka hadapi di masa akan datang.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Aku akan masuk neraka dalam keadaan hina.”  (Surah al-Mukmin, ayat 60). 

Sudah menjadi fitrah manusia hidup dalam keadaan sering mengharapkan perlindungan dan pertolongan Yang Maha Kuasa, apalagi kedudukannya sebagai makhluk di hadapan Khaliqnya (PenciptaNya).

Kerana tabiat manusia itu adalah lemah dan tidak berdaya dari semua aspek. Kelemahan dan ketidak upayaan ini boleh diatasi jika manusia mendekat dan menyandarkan dirinya serta berlindung kepada Yang Maha Kuasa, kerana hakikat kekuatan itu secara lahir dan batinnya bersumber daripada Allah SWT.

Oleh yang demikian, manusia tidak boleh terpisah dari Tuhannya, maka manusia perlu mendekatkan diri kepadaNya dengan menyembah dan mengingatiNya di setiap waktu dan tempat. Sedangkan wasilah (cara) untuk mendekatkan diri tersebut adalah melalui perantaraan ‘doa’, sebab dengan berdoa membuktikan penghambaan kepada Allah SWT.

Orang yang selalu berdoa bererti dia mengetahui hakikat dirinya dan hakikat Penciptanya yang mesti disembah dan ditaati, seperti ungkapan seorang ulama’ salaf: Siapa mengenal dirinya pasti dia mengenal Tuhannya.” 

Kita perlu memohon kepada Allah SWT.  Selain bertujuan memohon apa yang dihajati, doa juga dianggap satu ibadah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Doa itu adalah ibadah, Tuhanmu telah berfirman, berdoalah kamu kepadaKu, nescaya pasti aku akan perkenankan.”- ( Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah).

Ketika memohon, hendaklah dilakukan dengan sesungguh hati. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai manusia, pintalah oleh kamu akan Dia dalam keadaan kamu semua yakin dengan kemakbulan. Bahawasanya Allah tidak akan memakbulkan doa daripada seorang hamba yang hatinya kosong dan lalai." - (Hadis riwayat Ahmad).

Mereka yang enggan mohon kepada Allah SWT, dianggap sebagai orang yang sombong. Allah SWT benci kepada orang yang memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu memohon pertolongan kepada-Nya. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak memohon kepada Allah, nescaya Dia akan murka kepadanya” - (Hadis riwayat Bukhari)

Allah sentiasa akan memperkenankan apa yang dipohon kepada-Nya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Kalian mintalah kepada Allah daripada anugerah-Nya. Sesungguhnya, Allah senang untuk diminta." - (Hadis riwayat Tirmizi).