Monday 23 May 2016

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) merupakan kegiatan kokurikulum berbentuk ketenteraan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara kita untuk melahirkan pegawai simpanan angkatan tentera.

Program seumpama ini juga dijalankan di banyak negara di seluruh dunia.  Contohnya  di Indonesia ia dikenali sebagai Rejimen Mahasiswa, Australia (Univerisity Regiment of Australia), Amerika Syarikat (Reserve Officers Training Corp) dan di Bangladesh dikenali National Cadet Corp.

Penubuhan PALAPES di IPTA merupakan satu manifestasi kepentingan penglibatan semua peringkat lapisan masyarakat, terutama di kalangan cerdikawan dan tenaga pakar dalam semua bidang, dalam pasukan simpanan angkatan tentera.

Pasukan simpanan tentera amat diperlukan sebagai benteng pertahanan kedua negara untuk membantu anggota tentera tetap.  Keberkesanan dan kepentingan ini terbukti ketika negara mengalami zaman darurat dahulu. 

Pada ketika itu, kerajaan telah menubuhkan Pengawal Kampung (Home Guard) yang terdiri daripada penduduk yang secara sukarela menyumbangkan tenaga untuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis.  Kewujudan Pengawal Kampung banyak  membantu pihak tentera dan polis mengawal keamanan yang secara langsung menyekat niat jahat komunis untuk menguasai negara. 

Setelah terbukti keberkesanan Pengawal Kampung, maka parlimen telah meluluskan   Ordinan Askar Wataniah 1958 untuk memperkenalkan sebuah organisasi yang lebih tersusun, berkesan dan berkeupayaan sebagai pasukan simpanan kepada angkatan tentera.

Hasil Ordinan Askar Wataniah1958, maka tertubuhlah Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) yang secara langsung berada di bawah pentadbiran angkatan tentera.  Ramai bekas ahli Pengawal Kampung menyertai PSTD.

Di pusat IPTA, penglibatan pensyarah dalam mahasiswa mempertahankan negara secara ketenteraan bermula pada tahun 1963 ketika ketika negara berkonfrantasi dengan Indonesia.  Pada 3 April 1965, di Universiti Malaya ditubuhkan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah Universiti Malaya. Pada awalnya penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah, Perak, sewaktu cuti semester.

Tragedi 13 Mei 1969 menyaksikan Kompeni ini berkembang ke IPTA lain dengan penubuhan Kompeni A di ITM, Kompeni B di UPM dan Kompeni C di UKM dengan UM menjadi markas Batalionnya. Berikutan dengan semangat juang yang tinggi dikalangan pelajar-pelajar IPTA ini, Brigadier General Dato' Abdul As Ismail selaku Pengarah Askar Wataniah ketika itu telah mengambil inisiatif berbincang dengan Naib-naib Canselor Universiti dan pengarah ITM ketika itu untuk menubuhkan Reserve Officer Training Unit (ROTU).

Pada 18 Disember 1978, Jawatankuasa Turus Angkatan Tentera telah meluluskan penubuhan ROTU atau Reserve Officer Training Unit dengan objektif untuk melahirkan Pegawai-pegawai sukarela dari kalangan pensyarah, kakitangan dan pelajar di IPTA.

Pada 26 Februari 1979, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Turus Tentera darat dan dihadiri oleh Naib-naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM telah diadakan untuk menubuhkan ROTU di IPTA masing-masing.

Universiti Kebangsaan Malaysia mendahului pusat pengajian tinggi lain menubuhkan PALAPES iaitu pada 1 Julai 1979 dan diikuti IPTA lain.  Kewujudan PALAPES di IPTA bukan sahaja tanda sumbangan luhur warga kampus kepada keperluan pertahanan negara, malah ia memainkan peranan penting pembentukan sahsiah siswa.

Program PALAPES dengan segala ciri ketenteraan telah berjaya membentuk siswa yang memiliki kepimpinan, berilmu, berdisiplin, beriman, cinta negara, jati diri, gagah dan setia.

Program PALAPES terbuka kepada semua siswa dan siswi yang mengikuti pengajian sekurang-kurangnya selama tiga tahun.  Mereka juga perlu memenuhi syarat fizikal dan kesihatan seperti ditetapkan untuk anggota tentera tetap.

Sukatan pelajaran atau latihan untuk anggota PALAPES secara keseluruhannya sama seperti diikuti oleh pegawai kadet tetap di pusat latihan tentera.

Perbezaan program PALAPES berbanding pegawai kadet tetap hanyalah dari segi kaedah latihan dijalankan.  Program PALAPES dijalankan secara sambilan selama tiga tahun, manakala latihan pegawai kadet tetap dijalankan sepenuh masa dalam jangkamasa yang lebih pendek.

Program PALAPES merangkumi kurikulum ketenteraan secara amali dan teori.  Ia meliputi latihan kawat (pelbagai kawat), senjata, ilmu medan perang, semboyan, pentadbiran, kepimpinan, undang-undang tentera, moral, agama, etika, perhubungan dan jasmani.

Latihan untuk anggota PALAPES dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih anggota tentera tetap.  Ia diadakan di kawasan bersesuaian dengan keperluan latihan seperti di kem tentera, pusat latihan dan hutan, selain di kawasan sekitar kampus.

Anggota PALAPES mendapat hak yang sama seperti anggota tentera simpanan lain.  Segala kelengkapan berkaitan ketenteraan disediakan oleh angkatan tentera.  Selain itu, anggota PALAPES juga layak mendapat elaun dan kemudahan lain ketika menjalani latihan.

Selain menimba ilmu ketenteraan, program PALAPES juga diambil kira sebagai sebahagian daripada syarat keperluan kokurikulum yang ditetapkan oleh sesetengah IPTA.  Justeru, penyertaan di dalam PALAPES dimasukira dalam kelulusan keseluruhan pengajian akademik.

Latihan PALAPES dilaksanakan selama 3 tahun. Tahun pertama adalah Peringkat Junior,tahun kedua adalah Peringkat Intermediate dan tahun Ketiga adalah Peringkat Senior. Pada dasarnya jenis Latihan yang dijalankan di PALAPES adalah mirip kepada Latihan Kadet Angkatan tetap ATM. 

Pegawai kadet PALAPES yang berjaya menamatkan latihan penuh selama tiga tahun dan lulus semua syarat ditetapkan akan ditauliahkan sebagai pegawai simpanan angkatan tentera mengikut cabang perkhidmatan latihan yang diikuti iaitu sama ada darat, laut atau udara.

Selepas menamatkan pengajian, mereka dikehendaki melapor diri di mana-mana pasukan Siri 500 Askar Wataniah bagi tentera darat dan unit atau pangkalan yang ditetapkan untuk tentera laut dan udara yang berdekatan tempat tinggal masing-masing sebagai pegawai simpanan.

Mereka juga berpeluang menjadikan bidang ketenteraan sebagai kerjaya dengan menyertainya di bawah skim pegawai kerahan, Skim Graduan atau Tauliah Tugas Iktisah.  Mereka berpeluang ditugaskan mengikut bidang kemahiran masing-masing selaras dengan pemodenan sistem pertahanan negara yang memerlukan lebih ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang.    



No comments:

Post a Comment